Meski pun pelakon dan model terkenal tanah air, Dynas Mokhtar sedang
menghitung hari melahirkan anak keduanya, namun dia tetap kelihatan
anggun. Bahkan masih aktif menguruskan perniagaan yang diusahakan. Lihat
sahaja penampilannya sentiasa jelita dan bergaya.
Mengakui gemar bergaya, bagi Dynas statusnya kini tidak menjadi
penghalang untuknya menjaga penampilan, sementelah lagi dia sedang
mengusahakan butik khas untuk kaum ibu.
Melihatkan raut wajah dan personalitinya, pasti ramai yang mengagumi
ibu berusia 29 tahun ini. Walaupun sudah bergelar ibu kepada seorang
puteri, Khyra Kalyssa, 2, dan sedang menghitung hari melahirkan anak
keduanya, namun dia tetap kelihatan menawan khususnya apabila tampil
di khalayak ramai.
Mula menjinakkan diri dalam dunia seni menerusi program Beat TV pada
2002, pemilik nama Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar atau lebih dikenali
sebagai Dynas Mokhtar, terus menjadi buruan pengarah dan penerbit
tempatan. Selain filem, saban hari wajahnya sentiasa menghiasi kaca
televisyen sehingga berjaya meraih gelaran Pelakon TV Wanita Popular
menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP) selama dua tahun berturut-turut
(2007 dan 2008).
Malah, kerana kejelitaannya, anak jati Selangor ini turut dilamar
menjadi beberapa duta produk. Bersyukur dengan keistimewaan yang
dianugerahkan Ilahi, Dynas mengharapkan yang terbaik dalam kehidupannya.
"Semua orang mahukan yang terbaik dalam kehidupan mereka, begitu juga
saya. Bagaimanapun, ia terpulang pada individu. "Misalnya, dari segi
kecantikan, semuanya terpulang kepada diri sendiri. Bagi saya,
kecantikan adalah anugerah Tuhan, dan sebagai hambanya, kita perlu
menerima dan menghargai setiap pemberian-Nya.
"Yang penting cara kita menjaga dan mengekalkan kecantikan itu perlulah
seiring. Bukan sahaja penjagaan diri, keluarga dan kerjaya juga perlu
diberikan keutamaan," kata isteri kepada Mohd Hafizy Hafiz ini.
Bercerita mengenai penjagaan dirinya, Dynas yang masih 'vogue' ini
berkata, dia tidak pernah berasa malas untuk tampil hebat dan bergaya.
"Bergelar isteri dan ibu bukanlah satu alasan bagi saya untuk
mengabaikan kecantikan diri. "Saya tidak kisah mengamalkan apa sahaja
petua untuk memastikan saya sentiasa kelihatan cantik setiap hari. "Lagi
pun, sebagai selebriti, sudah pasti banyak mata yang memandang.
Bagaimanapun, saya memang suka kelihatan cantik," kata pelakon Cinta
Kolesterol, Impak Maksima dan Apa Kata Hati. Pantang cara tradisional
Wala upun pada luarannya, Dynas kelihatan moden, namun dia tetap
menitikberatkan amalan tradisional Melayu.
Menurutnya, sejak kelahiran Khyra lagi, dia sentiasa mengutamakan
kecantikan diri secara tradisional. “Tidak kiralah berapa pun usia kita,
kita perlu menjaga kecantikan diri dari hujung rambut sehingga ke
hujung kaki. Itulah yang saya lakukan kini.
"Lagi pun, selepas melahirkan anak, perubahan diri semakin ketara
terutamanya dari segi bentuk badan. Sebab itulah, kita wajib berpantang
dengan betul. "Ia sangat mustahak sebenarnya, tanpa penjagaan yang betul
dan rapi pasti kita kelihatan cepat berusia," katanya yang turut
mengamalkan berpantang cara Cina dan India ketika melahirkan Khyra.
Menurut Dynas, dia juga tidak lokek mengeluarkan sejumlah peruntukan
untuk mendapatkan rawatan di pusat pelangsingan badan. "Selepas
melahirkan Khyra, berat badan saya naik mendadak sehingga mencecah 71
kilogram.
Alhamdulillah, selepas mengikuti rawatan pelangsingan, saya berjaya
menurunkan berat badan kepada 59 kilogram. "Dan kerana itu juga, saya
telah ditawarkan menjadi duta kepada pusat pelangsingan badan tersebut,"
ujarnya yang bergelar duta kepada pusat pelangsingan Kunzense.
Dynas berkata, walaupun kembali hamil, dia akan sentiasa berusaha dan
tidak pernah menyerah kalah untuk mendapatkan bentuk tubuh ideal.
"Sekarang, meski pun sedang mengandung dan hanya menunggu masa, saya
tetap mahu kelihatan menawan. Sebab itulah, saya sentiasa mencari
pakaian yang sesuai dengan bentuk badan.
"Bagi saya, kita perlu sentiasa berfi kiran positif dan saya percaya semua wanita mahu kelihatan cantik,” katanya.